CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, October 25, 2008

SELEPAS SUGANDOI 2008, MALVIN KALBIN INGIN TERUS BERKARYA.(Artikel ini telah dikeluarkan di Sabah Time pada July 2, 2008)

Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri 2008


Sebulan berlalu sejak memenangi Juara Sugandoi 2008 Kaamatan Peringkat Negeri, nama Malvin Kabin masih segar dalam ingatan para peminat seni suara tempatan khususnyanya mereka yang mengikuti perkembangan muzik di negeri ini. Kejuaraan yang dimilikinya ini telah menjadi perangsang untuknya terus mengorak langkah ke hadapan bagi merealisasikan impiannya untuk berada setaraf dengan penyanyi tempatan yang telah lama bertapak di persada seni di negeri ini.

"Tidak semudah itu ..... saya telah bekerja keras untuk mendapatkan kejuaraan tersebut", begitulah ungkapan Malvin ketika ditemui baru baru ini ketika ditanya mengenai pertandingan Sugandoi 2008 yang dimenanginya pada Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2008 sebulan yang lalu. Malvin mengakui, pengalaman yang pernah dilalui banyak membantunya untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada dirinya. "Sebenarnya, pembabitan saya dalam bidang nyanyian ini bermula sejak berumur 12 tahun lagi. Pendedahan awal ini telah memberi saya banyak pengalaman untuk memperbaiki kelemahan diri. Namun, setelah berhijrah ke Kota Kinabalu pada tahun 2003 untuk belajar di Kolej PTPL Sabah, di situlah titik permulaan saya untuk bergiat aktif dalam bidang nyanyian", jelas pemuda yang baru berusia 25 tahun ini yang berasal dari daerah Beluran.

Menyingkap kembali sejarah serta pengalamannya dalam bidang nyanyian, sememangnya tidaklah semudah yang disangkakan. "Saya bermula dari "Voice of KUTPM" sehinggalah ke pertandingan Gangstarz pada tahun lalu dan tahun ini'", jelas Malvin sambil merujuk kepada pertandingan untuk memilih wakil Kolej PTPL ke Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM) pada tahun 2004 serta pertandingan berkumpulan realiti TV3 yang sedang ditayangkan sekarang ini. "Saya berjaya mewakili Kolej PTPL ke Shah Alam dan berjaya menjuarai pertandingan tersebut dalam kategori solo" ujar Malvin yang mula bergiat aktif sejak kemenangan tersebut.

"Saya mula berjinak jinak untuk menyertai pertandingan Sugandoi selepas itu. Banyak tempat yang saya sertai tetapi masih lagi terdapat kelemahan yang perlu saya perbaiki pada ketika itu. Pada tahun 2006, saya telah mewakili Kolej PTPL Sabah ke pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat IPT/S tetapi gagal mendapat tempat. Tahun berikutnya, saya menyertai pertandingan yang sama dan berjaya mendapat gelaran Juara pula" jelas Malvin yang telah mengambil jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan di kolej tersebut.

"Pada pertandingan Gangstarz pula, saya telah menyertai kumpulan "Triple Prince" pada tahun lalu dan "Da Prince" pada tahun ini. Walaupun kumpulan ini berjaya sehingga ke "Top 10" dan "Top 5" tapi saya rasa rezeki saya bukan di sana", jelas Malvin yang menamakan penyanyi penyanyi seperti Evaristus Gungkit, Martha Ginun, Usal Jon Gavis, Faizal Tahir serta Tom Jones sebagai idolanya.

Di sebalik kerancakan menceritakan pengalaman yang dilaluinya sepanjang pembabitannya dalam bidang nyanyian ini, tersentuh hati penulis apabila Malvin mula bercerita mengenai keluarganya. Berasal dari keluarga yang sederhana, dengan 3 orang adik beradik, Malvin mengakui ikatan kekeluargaan sememangnya amat penting dalam sesebuah keluarga, apatah lagi jika mereka memerlukan perhatian serta dorangan dari kita.

"Saya mempunyai dua orang adik. Saya amat menyayangi kedua dua adik saya ini. Adik saya yang kedua, Malvfred Kalbin yang kini berumur 22 tahun, mengalami penyakit Thalesemia iaitu kanser darah merah sejak berumur 6 bulan lagi. Saya sangat bersimpati dengannya dan seolah-olah saya dapat merasakan kesengsaran yang dipikulnya dengan penyakit ini. Bagi saya, di dalam kehidupan ini, apa yang utama sekali adalah kasih sayang. Jujur saya katakan di sini bahawa jika boleh, saya ingin bersama dengannya mengalami dan merasakan kesakitannya ini. Impian saya pada suatu hari nanti, dan jika berpeluang, saya ingin menyanyi amal untuk semua orang yang menghadapi penyakit seperti ini", ujar Malvin tanpa berselindung di sebalik musibah yang menimpa adik kesayangannya ini.

Berbalik semula kepada cerita mengenai karier nyanyiannya ini, Malvin mengakui sejak bergelar Juara Sugandoi 2008, dia tidak terlepas daripada diburui oleh syarikat syarikat rakaman yang menawarkan untuk merakamkan album solo pertama dengannya. "Saya amat teruja dengan tawaran tawaran yang telah diberikan. Namun dalam hal ini, saya perlu berhati hati kerana pada pandangan saya, adalah lebih baik jika saya perkenalkan diri saya dengan lebih rapat terlebih dahulu kepada masyarakat di luar sana, terutamanya mereka yang mengikuti perkembangan seni suara. Tidak semestinya kejuaraan yang saya kecapi baru baru ini menunjukkan saya sudah dikenali ramai. Biarlah saya terima terlebih dahulu undangan nyanyian serta berbuat amal sementara waktu ini. Apa apa pun, saya berharap untuk merakamkan album suatu hari nanti apabila saya benar benar telah bersedia", jelas Malvin, yang dapat merasakan dirinya sekali sekala mendapat perhatian jika berada di khalayak orang ramai.

"Sebagai permulaan, saya sebenarnya telahpun mendapat tawaran untuk menyanyi dalam sebuah album kompilasi dengan penyanyi penyanyi yang lain daripada sebuah syarikat rakaman. Tapi semua ini masih dalam proses perbincangan lagi, jadi saya tidak boleh berbicara banyak sangat tentang perkara ini. Tunggu dan lihat sajalah.....", ujar Malvin lagi sambil memberikan sedikit pengharapan kepada peminatnya yang setia menunggu kemunculan lagunya sendiri.

Bertugas dengan sebuah syarikat pengurusan komputer di ibu negeri, Malvin juga kini sibuk berjinak jinak dalam penulisan lagu. "Tetapi masaalahnya sekarang, saya kurang arif dalam bahasa ibunda saya sendiri iaitu Kadazandusun. Jadi apa yang saya lakukan adalah dengan menulis lagu tersebut dalam Bahasa Melayu, dan akan meminta rakan rakan yang arif dalam bahasa Kadazandusun untuk membuat penterjemahan", akurnya sambil menambah dorongan dari keluarga sejak dia mula aktif dalam bidang nyanyian ini merupakan sesuatu yang amat bermakna baginya.

Di akhir perbualan tersebut, Malvin ingin mengucapakan jutaan terima kasih kepada keluarganya yang sentiasa menyokong karier seninya ini. "Mereka merupakan sumber inspirasi yang pertama untuk membangunkan semangat saya untuk melakukan sesuatu agar lebih baik. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Usal John Gavis yang banyak memberi semangat dan tunjuk ajar untuk saya lakukan sesuatu itu dengan lebih baik sehinggalah saya berdiri di tempat saya pada hari ini" jelas Malvin yang mengharapkan sokongan daripada masyarakat di luar sana agar dapat menerimanya sebagai penghibur untuk mewarnai lagi pentas dunia nyanyian di negeri ini. "Akhir kata, kepada semua rakan rakan serta saudara mara yang telah memberi kata kata semangat untuk saya terus bergiat di dalam bidang nyanyian ini, terima kasih", ujarnya lagi mengakhiri perbualan tersebut.

Bagi mereka yang ingin mengenali lebih rapat lagi Juara Sugandoi 2008 ini, bolehlah melayari friendsternya di http://profiles.friendster.com/malvinvin ataupun melayari portal Kadus Entertainment di http://www.kadusmusic.com/portal/ yang memaparkan banyak informasi mengenai dengan penyanyi ini.

0 ulasan: